KUALA KANGSAR  – Sebuah bangunan baharu Hospital Kuala Kangsar yang mampu menempatkan 150 katil pesakit dicadangkan untuk pembinaan bagi menampung keperluan kesihatan penduduk di kawasan berkenaan.

Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kuala Kangsar, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim berkata, cadangan tersebut akan dibincangkan bersama Exco berkaitan sebelum dibawa ke pengetahuan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, perbincangan juga telah diadakan bersama Pegawai Daerah Kuala Kangsar bagi mengenal pasti kawasan di hospital tersebut yang sesuai bagi tujuan pembinaan bangunan baharu.

“Selain membina bangunan baharu, kita juga mahu menempatkan doktor pakar di hospital tersebut. Ini bagi membolehkan pesakit tidak perlu lagi ke Hospital Taiping dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

“Kedua-dua hospital ini menerima pesakit yang ramai dan keadaannya agak padat. Kita simpati kepada doktor dan petugas perubatan lain, tambahan lagi hasrat kerajaan untuk me­ngurangkan beban tugas mereka di hospital utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri Exco Kerajaan Ne­geri bersama Pakatan Harapan Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Multimedia, Komunikasi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Koperasi negeri memberitahu, pihaknya juga akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan berhubung kos pembinaan selain mencari perunding untuk menilai pembinaan bangunan baharu itu dalam tempoh tiga bulan ini.

Ujarnya, pembinaan bangunan baharu itu diharap setanding dengan perkhidmatan di Hospital Parit Buntar.

“Saya melihat keperluan Hospital Kuala Kangsar untuk dibangunkan dengan bangunan baharu yang dapat menempatkan lebih banyak katil. Ini kerana kita memahami kesulitan keluarga pesakit yang perlu ke Ipoh dan Taiping untuk rawatan,” katanya – utusan