PASIR SALAK – Kerajaan negeri bercadang untuk memperluaskan kemudahan Kad Perak Prihatin dengan menambah perkhidmatan insurans.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, cadangan itu melibatkan penambahan bajet dan ia akan dibentangkan pada Belanjawan 2021 Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.

“Kita bercadang untuk menambah baik dengan meletakkan insurans dalam kad tersebut supaya dapat digunakan tahun depan.

“Insurans ini akan melindungi penerima sama seperti insurans lain terutama dari segi kecederaan, kematian dan lain-lain. Kerajaan negeri akan menambah sedikit lagi peruntukan kad ini supaya penerima dapat manfaat menyeluruh,” katanya.

Kad Perak Prihatin dapat digunakan untuk barangan asas bernilai RM80 sebulan di 188 kedai yang berdaftar serta kemudahan rawatan kesihatan sehingga RM300 setahun di klinik panel terpilih.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Kad Perak Prihatin DUN Kampung Gajah kepada 89 penerima di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 17,000 kad sudah diserahkan kepada penerima yang layak, manakala 3,000 permohonan masih dalam peringkat tapisan.

“Kita menyasarkan penambahan 50 nama bagi setiap kawasan DUN. Permohonan ini diluluskan secara berperingkat bagi memudahkan penyerahan di setiap kawasan.

“Kita juga menasihatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bawa sama pihak urus setia setiap kali penyerahan supaya dapat membantu penerima aktifkan kad mereka supaya tiada yang tercicir lagi,” katanya.

Katanya, pemegang kad itu layak membeli barangan asas bernilai RM80 sebulan di 188 kedai yang berdaftar serta kemudahan rawatan kesihatan sehingga RM300 setahun di klinik panel terpilih.

Wan Norashikin (tengah) membantu salah seorang penerima Kad Perak Prihatin membeli barang keperluan.

Sementara itu, penerima, Nor Hayati Shafie, 53, mengharapkan kad itu dapat diperluaskan penggunaannya terutama di klinik kesihatan di kawasan Kampung Gajah.

“Kad ini boleh digunakan untuk kesihatan berikutan suami, Zul Zakaria, 59, sering berulang alik untuk mendapatkan rawatan di klinik tetapi tiada klinik panel yang ada di sini kecuali di Seri Iskandar dan Teluk Intan.

“Bagaimanapun, dengan adanya kad ini ia banyak membantu. Saya bersyukur walaupun RM80 dilihat nilai yang kecil tetapi bagi keluarga kami, ia jumlah besar yang membolehkan kami membeli barang keperluan seperti beras,” katanya.