Oleh: Abd Razak Mohd Ali

IPOH: Persidangan Pemikiran dan Tamadun Dunia (WCIT) 2017 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan kerajaan negeri Perak mencadangkan penubuhan Pusat Keamanan Global Islam dan Tanpa Keganasan.

 Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, cadangan itu adalah antara resolusi yang dirangka sepanjang persidangan dua hari di Hotel Casuarina @ Meru yang bermula hari ini.

Menurut beliau, pusat itu dicadang ditubuhkan di USAS dan bekas Setiausaha Agung ASEAN, Tan Sri Dr. Surin Pitsuwan sebagai pengerusi pertamanya di samping beberapa anggota seperti pengasas Madina Institute, Shaykh Muhammad Yahaya Al-Ninowy.

“Pusat ini berperanan untuk mengadakan proses perhubungan dengan seluruh dunia berkaitan dengan matlamat kita untuk mewujudkan suasana keamanan dan tanpa keganasan,” katanya pada sidang media selepas titah diraja dan perasmian WCIT 2017 oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Dr Zambry berharap persidangan dua hari itu akan menerima cadangan tersebut agar penubuhan pusat berkenaan dapat direalisasikan secepat mungkin, yang memberikan fokus kepada usaha-usaha bagi mewujudkan keamanan global.

Menurut beliau, Perak dijadikan sebagai contoh kerana di dalam sebuah negara yang juga mempunyai komposisi penduduk pelbagai kaum dan agama.

“Kalau boleh berjaya mewujudkan keamanan di Perak, rakyat semua berbilang kaum saling hormat menghormati di antara satu sama lain, tidak ada perkara yang mendatangkan keresahan rakyat, tentunya ia akan menjadi contoh kepada tempat yang lain.

“Sebab itu saya selalu mengingatkan semua pihak, elakkan daripada bermain sentiment politik yang keterlaluan, memaki hamun dan sebagainya, itu bukan caranya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Zambry memberitahu, WCIT kali keempat ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, bukan sahaja di kalangan pembentang kertas kerja, malah juga di kalangan para peserta dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, persidangan seumpama itu antara lain adalah untuk menyampaikan dan pencanaikan idea untuk disebarkan, seperti mewujudkan keamanan, bukannya  dalam proses jangka pendek.

“Sebaliknya ia merupakan suatu proses jangka panjang yang perlu kita terapkan dan kita tidak boleh berhenti di satu tahap dengan hanya mengadakan seminar satu tahun dan kita semua tutup buku,” jelasnya.

Selain daripada Dr Surin dan Shaykh Muhammad Yahaya, beberapa tokoh besar dunia turut hadir pada persidangan itu, antaranya, bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhayono dan Prof Bruce Lawrence (professor bidang perbandingan agama di Duke University, USA), aktivitis terkenal yang menyertai misi bantuan ke Gaza (Gaza Flotilla Chalenger 1, Mavi Marmara), Kol (B) Ann Wright dan Duta Besar Singapura ke Kemboja, Mushahid Ali.

Di samping itu, beberapa tokoh tempatan turut hadir, antaranya Prof Datuk Dr Murad Merican, Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah, Tan Sri Razali Ismail, Dr. Chandra Muzaffar dan Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw.