IPOH – Cadangan untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu akan dipanjangkan kepada kerajaan pusat untuk pertimbangan melalui Majlis Tanah Negara (MTN).

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, ketika ini kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian kerana ia akan bercanggah dengan perlembangaan.

“Hasil semakan dengan pihak Majlis Tanah Negara atau MTN, Dasar Spesifik Mengenai Pemegangan Tanah Bagi Kawasan Kampung-Kampung Baharu adalah seperti berikut, mesyuarat MTN ke-42 pada 8 Januari 1988 telah memutuskan bahawa tempoh pajakan atau leasehold bagi kampung-kampung baharu telah dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun.

“Mesyuarat MTN ke-53 pada 25 April 1997 pula menetapkan bahawa tempoh pajakan atau leasehold bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

“Keputusan ini sekaligus mengikat semua negeri di Semenanjung Malaysia seperti peruntukan dibawah Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika mengulung titah diraja pada Sidang DUN, hari ini.

Namun katanya, memandangkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat sekarang ini dibawah Pakatan Harapan (kerajaan yang sama) perkara ini akan dipanjangkan kepada kerajaan pusat untuk pertimbangan melalui MTN.

“Biarpun ada pandangan bahawa terdapat kelonggaran di atas ketetapan ini melibatkan “keadaan-keadaaan khas” atau dengan izin, “special circumstances”, tafsiran “special circumstances” ini tidak diperuntukkan dalam Kanun Tanah Negara.

“Menurut Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan lagi, dari perspektif Perlembagaan, keputusan MTN yang dibuat di bawah Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan adalah sebahagian daripada efek operasi undang-undang yang mengikat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk mematuhinya.

“Dalam hubungan ini, jika ada tindakan Kerajaan-kerajaan Negeri yang membelakangi keputusan MTN tersebut, maka tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.