KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menghentikan skim pencen perkhidmatan awam bagi lantikan baru bermula tahun hadapan masih dalam peringkat kajian, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya difahamkan ia akan dibawa dan diangkat kepada kabinet untuk mendapatkan persetujuan atau pun tidak… kita akan bincangkan lebih lanjut lagi.

“Namun ia belum lagi diberi kepada Kabinet… kita akan perincikan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program “Women in Business” (WinBiz) yang diperkenalkan Bank Islam sebagai penyelesaian kewangan baru yang dikhususkan bagi usahawan wanita di bawah segmen perniagaan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Borhan Dolah berkata, mulai tahun hadapan, lantikan baru dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambahbaik.

Menurut Borhan, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembaharuan Perkhidmatan Awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam ucapannya menyeru agar institusi kewangan di Malaysia mencontohi dan mengikut langkah Bank Islam dalam memperkenalkan produk atau perkhidmatan yang menggalakkan penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan.

Beliau juga menggesa pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk berusaha ke arah meningkatkan penglibatan wanita dalam perniagaan, khususnya perindustrian kecil dan sederhana (PKS).

Berdasarkan Banci Ekonomi 2016 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat hampir satu juta perniagaan dalam segmen PKS, yang mana kira-kira 20.6% daripadanya adalah perniagaan yang dimiliki atau dikuasai wanita.

“Ini jelas menunjukkan PKS adalah antara tulang belakang kesejahteraan ekonomi negara dan saya yakin usahawan wanita berkemampuan memacu pertumbuhan ekonomi untuk jangka panjang,” katanya.