BAGAN DATUK: Kerajaan akan membawa cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat tragedi Memali pada 1985 kepada Jemaah Menteri, sebelum memutuskan tempoh sesuai bagi penubuhannya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, tugas RCI adalah untuk menyiasat dalang penting yang telah mengarahkan operasi Memali dilakukan.

“Jika ada sebarang unsur penganiayaan atau kezaliman dilakukan oleh sesiapa sahaja yang telah mengeluarkan arahan sedemikian, maka tugas RCI ini adalah untuk menyiasat siapakah orang yang menjadi tokoh penting dalam mengarahkannya,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui di program Majlis Santai TPM Merangkap Menteri Dalam Negeri Bersama Warga PDRM Kementerian Dalam Negeri Bagan Datuk Hilir Perak di Balai Polis Hutan Melintang, di sini hari ini.

Yang turut sama Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar.

Dalam pada itu Zahid berkata, penelitian penubuhan RCI ini melibatkan tiga elemen utama yang menjurus kepada tragedi berdarah Memali di Baling, Kedah lebih 30 tahun lalu.

“Pertamanya jika ada arahan yang dilakukan kepada pihak PDRM ketika itu untuk melakukan penembakan yang menyebabkan kematian kepada bukan sahaja keluarga Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya, tetapi ramai lagi mangsa yang mengalami keadaan itu.

“Kita tahu tindakan yang merupakan elemen kedua oleh pihak polis adalah berdasarkan kepada arahan, dan kita harap arahan ini yang bersandarkan kepada menjaga soal keselamatan bukan kerana arahan politik,”jelasnya.