KUCHING: Ganja tidak sesuai ditanam secara besar-besaran negara ini kerana boleh menjadi ancaman besar terhadap kesejahteraan hidup rakyat, walaupun ada yang memberi alasan ia perlu dilakukan bagi tujuan perubatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata Malaysia tidak boleh menjadikan beberapa negara luar seperti Belanda, Portugal serta beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) yang membenarkan penanaman ganja sebagai contoh.

Mohmad berkata sebagai pegawai kanan yang berkhidmat selama 35 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan jawatan terakhir mengetuai pasukan yang bertanggungjawab memerangi dadah, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan membenarkan ganja ditanam di negara ini.

“Secara peribadi, saya memang sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana banyak keburukan yang akan berlaku pada masa depan.

“Kalaulah satu masa nanti, ganja dibenarkan ditanam secara besar-besaran di Malaysia, kita bimbang ia akan menjadi ancaman besar kepada negara,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Perpisahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, menjelang persaraannya, hari ini.

Mohmad bagaimanapun berkata jika majoriti rakyat negara ini menyokong cadangan itu, terpulang kepada pemerintah untuk memutuskannya.

“Kalau masyarakat bersetuju, teruskan tetapi jika masyarakat menolaknya, janganlah buat cadangan itu,” katanya.

Mohmad berkata masalah dadah sudah sekian lama membelenggu sehingga menjadi musuh nombor satu negara dan beliau menjangka masalah itu tidak akan ada kesudahannya.

“Pembuat dadah sentiasa berusaha menghasilkan dadah jenis baharu, sebab itu kita nampak evolusi dadah berlaku begitu cepat.

“Meskipun dadah tradisional seperti ganja, morfin, heroin dan candu terus menjadi ancaman, banyak dadah jenis baharu muncul dan ia berbeza dengan dadah tradisional yang sekadar mengkhayalkan kerana banyak dadah terkini memberi tenaga tambahan kepada penggunanya,” katanya – Berita harian