KUALA LUMPUR: Individu yang menjalani kuarantin di Institut Latihan Awam (ILA) hanya akan membayar caj kuarantin sebanyak RM100 sehari berbanding RM150 sebelum ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata namun begitu kos kuarantin di hotel kekal iaitu RM150 sehari bagi setiap individu dan mereka boleh menaik taraf bilik tetapi lebihan caj adalah atas tanggungan sendiri.

Katanya, bagi sebuah keluarga dan mempunyai anak bawah 12 tahun,

mereka dibenarkan untuk menginap di dalam satu bilik yang sama, cuma hanya individu kedua dan seterusnya akan dikenakan caj RM50 sehari untuk kos makan dan minum.

“Bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah yang sendirian pulang melancong, dia juga diwajibkan kuarantin selama 14 hari, namun tiada caj dikenakan termasuk kepada seorang penjaga yang menemani.

“Namun begitu, jumlah (kapasiti) ILA terhad dan bergantung kepada ketersediaan bilik untuk mereka.

“Kerajaan juga bersetuju untuk turut memberi pengecualian kos kuarantin kepada warga negara dari keluarga B40 dan banduan yang baru dibebaskan di negara jiran yang tidak mampu dan tiada sumber kewangan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini.

-BeritaHarian