Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TELUK INTAN: Calon-calon Barisan Nasional (BN) Perak disaran tidak mengikut budaya politik maki hamun pembangkang sebaliknya berpegang kepada konsep berhemah dalam mendekati rakyat sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata budaya pembangkang yang gemar menggunakan pendekatan maki hamun dan menfitnah untuk menarik perhatian pengundi tidak akan membawa manfaat.

Menurutnya BN yakin pendekatan yang berhemah yang diguna pakai lebih menjamin kerana rakyat di negeri ini bijak membuat penilaian.

Katanya selain kenyataan dan janji-janji yang dibuat rakyat juga akan menilai perkhidmatan yang diberikan wakil rakyat di kawasan mereka dalam memilih semula calon yang akan membawa suara mereka semasa PRU nanti.

“Kami tidak akan gunakan politik keras, yang makin hamun, yang membuat pembohongan dan sebagainya tetapi lebih berhemah.

“Sebagai contoh, (calon Parlimen Teluk Intan) Datuk Seri Mah Siew Keong terus berada di hadapan, ada bersama rakyat di mana sahaja mereka berada, saya yakin rakyat akan memberikan penilaian mengikut pandangan rasional terhadap seorang wakil rakyat yang mereka inginkan di kawasan (masing-masing),”katanya kepada pemberita dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Sistem Perparitan di Kampung Bahagia, Changkat Jong, di sini pada pagi Isnin.

Dr Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata, tidak seperti pembangkang, BN Perak komited melaksanakan kerja mendekati rakyat selepas memenangi pilihan raya dan bukan hanya hadir ketika kempen dan menghilang selepas diberikan mandat oleh rakyat.

“Kita tahu tentang beberapa watak (pembangkang) yang datang hanya kononnya kerana dipilih menjadi wakil rakyat tetapi tidak memberikan khidmat kepada rakyat.

“Tanyalah rakyat di kawasan berkenaan apakah wakil rakyat mereka benar-benar bekerja sebagai wakil rakyat atau hanya menjadi seorang tokoh politik popular yang berada di pentas ceramah dan sebagainya,

“Saya fikir rakyat Perak lebih tahu siapa mereka dan ada seorang wakil rakyat itu bergerak dan berpindah kawasan pada setiap kali pilihan raya.

“Dia bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain seperti nomad,” katanya merujuk kepada calon lawan Nga Kor Ming yang bertanding di Teluk Intan kali ini.

Sementara itu, Dr Zambry turut menyebut beberapa pencapaian Datuk Mohd Azhar Jamaluddin yang akan mempertahankan kerusi DUN Changkat Jong.

Katanya antara usaha Mohd Azhar adalah menyelesaikan sistem perparitan bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Bahagia selama ini.

Jelasnya, pelbagai kajian terperinci telah dibuat bagi menyelesaikan masalah peparitan yang membelenggu penduduk Kampung Bahagia yang akhirnya dapat direalisasikan dengan kelulusan bajet berjumlah RM1.1 juta daripada Jabatan Kerja Raya pada 10 April lalu.

Katanya, projek itu yang pada mulanya berdepan masalah teknikal berjaya diatas setelah Mohd Azhar membawa perkara itu kepada pengetahuan Perdana Menter, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2017.

“Saya juga nampak perubahan yang berlaku di kawasan jalan utama di Kampung Bahagia ini, seperti yang kita saksikan hari ini, benda ini bukan baru hari ini kita buat. Ada yang datang ke sini tetapi untuk perkara (projek pembangunan) yang telah berjaya diselesaikan.

“Saya telah mendapat maklum balas, apabila hujan turun di sini tidak lagi berlaku banjir seperti sebelum ini, dan kita doakan agar berlaku lagi selepas ini,”katanya kepada pemberita.

Dr Zambry juga berkata bahawa selain dariapda projek perparitan tersebut, pembinaan SK Bahagia merupakan satu lagi bukti janji BN yang telah dilunaskan.

BERITA BERKENAAN1,000 Pengangkutan Percuma Ke Pusat Mengundi