SLIM RIVER – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Zaidi Aziz bernasib baik tidak melanggarkan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akibat memakai baju yang menunjukkan lambang parti di pusat pengundian awal.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tanjung Malim itu berkata, insiden yang tidak disengajakan itu berlaku di pintu masuk di Balai Polis Daerah Muallim.

Beliau yang tiba pukul 9.50 pagi sempat ditegur oleh seorang pegawai SPR yang memaklumkan mengenai penampilannya itu.

Ini kerana mana-mana individu yang memakai baju yang mempunyai logo parti menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.

“Saya memang terlupa sebab selepas solat Subuh saya terus keluar rumah dengan memakai baju korporat BN untuk meneruskan kempen dengan bertemu pengundi untuk program sarapan pagi.

“Habis di sana, saya terus ke sini (pusat pengundian) dan terus turun kereta menuju ke pintu masuk dan terlepas pandang dengan baju korporat. Saya ditegur di pintu masuk dan kembali ke kenderaan.

“Nasib baik saya ada baju lain tambahan dan menukarnya di dalam kenderaan di tepi jalan. Insiden ini tiada ada isu sebenarnya. Itu adalah peraturan dan kita perlu mematuhinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak di media di luar Balai Polis Daerah Muallim di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau meninjau proses pengundian awal yang melibatkan seramai 267 anggota dan pegawai polis.

Tahun lalu, SPR sudah membuat laporan polis terhadap calon Pakatan Harapan (PH) PRK Cameron Highlands, M Manogaran berhubung tindakannya memasuki pusat mengundi dengan memakai baju yang mempunyai logo parti.

Manogaran memasuki Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut daerah Lipis, Pahang pada hari pengundian dengan memakai baju yang mempunyai logo parti dan tindakan itu menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.

Mengulas lanjut, Mohd. Zaidi berkata, beliau berpuas hati dengan proses tersebut yang disifatkannya lancar dan teratur.

Beliau juga meluahkan rasa gembira apabila suasana dewan membuang undi di pusat itu yang selesa untuk pengundi termasuk di luar tempat menunggu giliran.

“Petugas SPR dan Ketua Pusat Daerah Mengundi tuurt mengendalikan proses undi awal ini dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette