IPOH: Walaupun telah mengemukakan cadangan senarai nama untuk diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14), Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

Ketuanya, Khairul Shahril Mohamed berkata, beliau yakin, pucuk pimpinan parti akan membuat keputusan terbaik bagi menentukan calon-calon berpotensi untuk bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN).

“Kami yakin dan percaya, pucuk pimpinan lebih hebat dan bijak menilai serta menentukan calon-calon yang sesuai untuk membawa bendera Barisan Nasional.

“Kita lebih mengutamakan Barisan Nasional itu sendiri, bukannya calon, itu ketetapan Pemuda dan saya percaya ini juga ketetapan yang dibuat oleh Barisan Nasional, kita mementingkan parti daripada individu,” katanya kepada pemberita selepas sidang media mengenai pertandingan akhir Liga Perak Amanjaya 2017/2018 di sini, hari ini.

Khairul Shahril yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit berkata, beliau secara peribadi berpendapat, hiraki di dalam parti juga agak penting dan percaya pucuk pimpinan parti juga akan mengambil kira mengenainya.

“Cuma, akhirnya, walau siapapun diangkat menjadi calon, tiada masalah, kita akan pastikan jentera kita bekerja untuk menentukan calon kita menang dan akhirnya Perak dan Malaysia kekal sebagai kerajaan Barisan Nasional, itu yang penting,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap, calon Pemuda juga diberi keutamaan dan jumlah yang diberi wajar melebihi bilangan pada PRU-13.

“Kita tidak menetapkan berapa peratus tetapi kita mengharapkan melebihi daripada PRU-13 dan kita telah mengusulkannya kepada Pengerusi (Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia (Khairy Jamaluddin),” ujarnya.