IPOH – Lebih ramai muka-muka kalangan wanita, pemuda, dan puteri Barisan Nasional (BN) Perak akan diletakkan sebagai calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berbanding pilihan raya lalu.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika memberi bayangan itu berkata, keputusan itu dibuat bagi membuka ruang kepada golongan terbabit untuk terlibat secara aktif dalam soal pentadbiran dan pengurusan sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri.

“Saya tidak nafikan akan ada calon-calon daripada wanita, pemuda dan puteri, kita jangkakan keseluruhan calon-calon daripada BN ini akan lebih ramai, ia melibatkan kesemua parti komponen juga,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Himpunan Jentera Briged Gempur 2314 Pemuda BN Negeri Perak, di sini pada Ahad.

Justeru Menteri Besar juga mengesa jentera briged gempur untuk membantu bagi memastikan golongan berkenaan mencapai kemenangan di kerusi-kerusi yang ditandingi.

“Saya harap anda sekalian apabila pulang ke bahagian masing-masing, parlimen dan juga DUN tolong pastikan setiap jentera di Pusat Daerah Mengundi (PDM) kita dapat digerakkan sebaik-baiknya.

“Anak-anak muda BN perlu sentiasa mempunyai ketahanan hebat, kesetiaan yang hebat dan bersiap sedia untuk kita berhadapan dengan pilihan raya nanti,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Gesaan Dr Zambry itu kemudiannya disambut dengan sorakan lebih 4,000 pemuda BN negeri yang hadir pada majlis berkenaan.

Beliau menambah kehadiran ribuan jentera yang terdiri daripada belia itu membuktikan BN telah bersedia untuk “mengempur” PRU-14.