Beijing: Kira-kira 15 tahun lalu, seorang bapa kepada tiga anak berhijrah ke bandar dari kampungnya di daerah Xiangzhou di wilayah Guangxi, China untuk mencari kerja.

Wu Jiacai bertekad untuk mencari pekerjaan lebih baik bagi menyara keluarganya yang bergantung dengan pendapatannya sebagai petani.

Tanpa sebarang peta atau pengetahuan mengenai dunia luar, Wu yang ketika itu berusia 55 tahun mengembara dari Guangxi ke Beijing sejauh 2,200 kilometer dengan berjalan kaki dan menumpang kenderaan.

Lelaki itu berhenti di setiap pekan dan bandar yang dilaluinya tetapi dia masih gagal mencari pekerjaan.

Wu memberitahu, pada awal perjalanannya tangan kanannya patah akibat terjatuh di landasan kereta api sehingga menyebabkan tangannya cacat.

Keadaan itu menyebabkan dia sukar mencari pekerjaan tetapi Wu terus berusaha sehingga dia tiba di Beijing.

Selama tinggal di Beijing, Wu terpaksa meminta sedekah untuk membeli makanan dan menampung kehidupan hariannya.

Wu juga tidak mahu pulang ke kampung kerana tidak mempunyai wang selain malu dengan keluarganya kerana masih gagal mendapat kerja.

Pada tahun lalu, sebuah pertubuhan kebajikan menemui Wu dan mereka merakam kisah lelaki itu sebelum menyiarkannya di media sosial.

Kisah Wu itu segera tular di media sosial dan akhirnya sebuah lagi badan kebajikan membantu lelaki itu kembali ke pangkuan keluarganya.

Wu akhirnya kembali ke kampungnya pada 26 Januari lalu dan bertemu kembali dengan isteri, tiga anaknya dan seorang cucunya.-metro