LONDON: Kehadiran Edison Cavani diharap mampu menguatkan jentera serangan Manchester United yang jelas tumpul terutama selepas kekalahan 1-6 kepada Tottenham dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris kelmarin.

Bintang penyerang Uruguay itu melengkapkan perpindahan pada hari terakhir pasaran dibuka awal pagi tadi.

Cavani tidak memiliki kelab sejak meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) pada penghujung Jun.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman PSG berusia 33 tahun itu meledak 200 gol dalam tempoh tujuh musim di Parc des Princes.

Cavani boleh membuat penampilan pertama menentang bekas kelabnya itu ketika United membuka kempen Liga Juara-Juara di PSG pada 20 Oktober ini.

“Manchester United ialah satu daripada kelab terbesar di dunia, jadi ia satu penghormatan untuk berada di sini.

“Saya bekerja keras ketika tiada kelab dan tidak sabar untuk bersaing serta mewakili kelab yang menakjubkan ini,” kata Cavani.

United juga menandatangani pertahanan kanan antarabangsa Brazil, Alex Telles dari Porto menerusi 13.5 juta pound (RM72.82 juta), selain pemain remaja Uruguay, Facundo Pellistri dan bersetuju dengan Atalanta bagi mendapatkan pemain berusia 18 tahun, Amad Diallo pada perpindahan seterusnya. – AFP