LUMUT, 10 JAN – Co-op Bank Pertama (CBP) mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat lebih tinggi dengan peningkatan sebanyak 16.9 peratus pada akhir Disember lalu berbanding tahun 2019.

Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, keuntungan yang diperoleh itu melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu RM86.2 juta meskipun keadaan ekonomi negara suram akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, sebahagian besar daripada keuntungan itu dijana oleh aktiviti-aktiviti pembiayaan, pelaburan sekuriti dan penempatan deposit.

“Jumlah aset kami meningkat kepada RM5.8 bilion pada akhir Disember lalu berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan RM4.3 bilion. Ia satu peningkatan ketara iaitu sebanyak 34.4 peratus.

“Tiga penyumbang utama pada aset itu kalau dicampur menjadi RM5.2 bilion iaitu hampir 90 peratus daripada jumlah aset tersebut. Kategori pembiayaan adalah paling besar menyumbang dengan mencatatkan RM3.7 bilion. Aset penting sebagai ukuran dalam mencapai matlamat kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan cawangan ke-27 Co-op Bank dan sumbangan kelengkapan sekolah kepada 50 pelajar B40 di Taman Samudera, Seri Manjung di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd Nor Abd Razak.

Kamari Zaman berkata, CBP juga memperoleh pendapatan hampir RM360 juta sepanjang tahun lalu iaitu peningkatan 12.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Dari segi saiz deposit berlaku peningkatan sebanyak 44.5 peratus di mana hampir RM4.6 bilion yang menyimpan dengan kami dan begitu juga dengan peningkatan jumlah pembiayaan kami.

“Bagaimanapun, prestasi ini masih lagi di peringkat awal yang mana perlu melalui proses kelulusan di peringkat Lembaga Pengarah, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan mesyuarat agung tahunan,” katanya.

Menurutnya, seramai 91,493 individu dan 723 koperasi menjadi ahli koperasi atau anggota CBP di seluruh negara dan CBP dinobatkan sebagai Koperasi Terbaik Negara 2020 dengan menduduki tempat pertama profil koperasi terbaik negara.

“Kejayaan itu dicapai kerana tidak melihat kewujudan Covid-19 daripada sudut yang sukar semata-mata tetapi melihatnya sebagai cabaran menggunakan ‘strategi lautan biru’.

“Kita masih boleh menembusi pasaran dan bertemu dengan pelanggan menggunakan pelbagai kaedah lebih terkini menerusi dalam talian dan sebagainya,” katanya. – Sinar Harian

SuaraPerak #BeritaPerak #Lumut #Perak #CBP