Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Gara-gara cemburu, seorang suami dipercayai bertindak memukul isterinya sehingga maut dalam kejadian di Matang, dekat sini pada pagi Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superitendan Razlam Ab Hamid ketika dihubungi pemberita mengesahkan mengenai kes melibatkan keganasan rumah tangga itu.

Katanya, pihaknya mendapat maklumat awal mengenai kes tersebut apabila suami kepada isteri yang malang itu telah datang ke Balai Polis Kuala Sepetang untuk mengakui bahawa dia telah memukul isterinya dan mendatangkan kecederaan.

“Lelaki yang bekerja sebagai buruh dan berumur 40 tahun itu membuat laporan bahawa dia telah memukul isterinya sehingga cedera, sebelum isterinya tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Taiping menggunakan ambulans.

“Insiden yang berlaku di kediaman mereka di Matang dipercayai berpunca akibat daripada suami wanita tersebut mengesyaki hubungan rapat isterinya dengan lelaki lain,”katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada hari yang sama berikutan disyaki mempunyai pendarahan dalam otak.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Ipoh sekitar jam 9.30 malam semalam (Sabtu), dan bedah siasat kes pada pagi Ahad mendapati sebab kematian adalah kecederaan kepala berikutan trauma tumpul,”katanya lagi.

Razlam berkata, pihaknya kemudian telah menangkap suami semasa beliau melakukan laporan di Balai Polis Kuala Sepetang dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

“Suami mangsa akan direman selama tiga hari sehingga 15 Januari ini manakala polis akan dipohon sambung reman untuk membantu siasatan lanjut, yang telah direklasifikasi bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,”katanya lagi.

Katanya, isteri mangsa yang berusia 38 tahun merupakan seorang surirumah dan meninggalkan empat orang berumur di antara lima hingga 15 tahun.