KEPALA BATAS – Dua individu ditahan polis selepas dipercayai terlibat dengan sindiket mencetak dan menjual sijil cuti sakit (MC) palsu di negeri ini petang semalam.

Kegiatan mereka itu terbongkar selepas seorang pengurus sumber manusia sebuah syarikat swasta membuat pemeriksaan dengan hospital berhubung dua sijil MC yang diterima daripada pekerja sebelum ini kerana disyaki sijil palsu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd Noor berkata, semakan dibuat mendapati nombor siri yang terdapat pada sijil cuti sakit yang dikemukakan sebelum ini tidak wujud.

Selain itu pihak hospital juga memaklumkan pegawai perubatan yang mengesahkan sijil cuti sakit tersebut juga tidak berkhidmat dimana-mana jabatan di hospital terbabit.

Selepas mendapat pengesahan daripada hospital, Norzainy berkata, syarikat terbabit terus membuat laporan polis berhubung kes berkenaan dan hasil tindakan pantas polis berjaya mengesan pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil MC palsu.

“Kita berjaya menahan dua individu berusia 30 dan 34 tahun yang merupakan dalang di sebalik pengeluaran sijil cuti sakit yang tidak sah.

“Salah seorang daripada mereka berperanan untuk mencari pelanggan manakala seorang lagi merupakan individu yang mencetak dan hasilkan sijil MC palsu yang diminta pelanggan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi tujuan siasatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya, sabit kesalahan kedua-dua individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Beliau turut menasihatkan orang ramai terutamannya pekerja jabatan kerajaan ataupun swasta supaya tidak mengambil langkah yang mudah bagi mendapatkan kelepasan kerja dengan membeli sijil cuti sakit yang palsu,

“Sekiranya terlibat, selain daripada tindakan tatatertib sehinggalah hukuman buang kerja. Pesalah yang terlibat juga boleh dituduh dimahkamah jika disabitkan kesalahan,” katanya.

-SinarHarian