SITIAWAN – Kemudahan ambulans ‘dikembalikan’ semula di Klinik Kesihatan Changkat Keruing, Julai lalu selepas lebih setahun.

Exco Kerajaan Negeri, Wong May Ing berkata, ambulans di klinik itu dihentikan operasinya sekitar Mac 2017 atas faktor tertentu.

Menurutnya, keadaan itu menjadikan penduduk terpaksa mendapatkan bantuan ambulans dari Klinik Kesihatan Ayer Tawar ataupun Klinik Kesihatan Pantai Remis masing-masing berjarak antara 13 hingga 20 kilometer

“Kemudahan ambulans antara isu yang kita titikberatkan dalam Dewan Negeri dan saya berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan yang memberi perhatian terhadap masalah ini.

“Perkhidmatan ambulans yang telah lama dinantikan penduduk akhirnya dapat beroperasi,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Changkat Keruing.

Beliau berkata, ambulans Gred B yang dilengkapi peralatan membantu doktor merawat pesakit semasa dalam perjalanan ke hospital itu disediakan melalui peruntukan RM430,000.

 

– sinar