KUALA LUMPUR: Bagi memastikan Tan Cheng Hoe dapat melunaskan misinya untuk membawa Harimau Malaya meraih slot automatik ke Piala Asia 2023, kontraknya sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan dilanjutkan sehingga Disember 2022.

Kontrak pengendali kelahiran Kedah itu sepatutnya tamat 31 Disember ini, namun beliau telah dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ia disambung dua tahun lagi.

Itu bermakna, Cheng Hoe, 52, akan terus menggalas tugas dalam baki tiga perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bermula Mac tahun hadapan.

Difahamkan perbincangan mengenai lanjutan kontrak itu berlangsung sejak beberapa bulan lalu, sebelum FAM memuktamadkan keputusan itu berdasarkan perubahan positif dibawa Cheng Hoe dalam pasukan termasuk memberi nafas baharu dalam corak permainan skuad negara.

“FAM sudah setuju untuk menyambung kontrak bagi tempoh dua tahun lagi. Saya menganggap ini sebagai satu cabaran untuk saya dalam membawa pasukan kebangsaan, ke satu tahap lebih baik,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Cheng Hoe menerima surat tawaran lanjutan kontrak itu dan akan berjumpa barisan kepimpinan tertinggi FAM, sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilonggarkan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata, walaupun 2020 tahun yang membantutkan perkembangan prestasi positif pasukan kebangsaan tetapi FAM masih mempunyai rancangan lebih besar dan Cheng Hoe individu terpenting dalam menjayakan usaha tersebut.

“Kami gembira TCH (Cheng Hoe) bersetuju menyambung khidmatnya dan sekarang kami dapat memberi fokus pada beberapa perlawanan penting selepas ini. Banyak rintangan dihadapi tahun ini dan berharap situasi tidak dikehendaki itu (COVID-19) segera berakhir dan seterusnya mengembalikan semangat pasukan tahun depan,” katanya.

Musim 2019 menyaksikan skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Cheng Hoe merekodkan sembilan kemenangan dalam keseluruhan 13 perlawanan termasuk aksi persahabatan berstatus A sejak muncul naib juara Piala AFF 2018.

Empat daripada sembilan kemenangan dilakar ke atas pasukan yang berada di ranking dunia lebih tinggi daripada skuad negara, ketika perlawanan itu berlangsung.

Malaysia menumpaskan Afghanistan (ranking 147) pada Kejuaraan Piala Airmarine (Mac); Nepal (161) serta Tajikistan (116) pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 (Jun dan November); dan Thailand (109) dalam saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 14 November lalu.

Dalam saingan kelayakan itu, Malaysia berada dalam kedudukan selesa di tempat kedua, dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Layak ke Piala Asia 2023 adalah misi pasukan kebangsaan dalam Peta Hala Tuju FAM, yang juga dikenali sebagai F:30.