BEIJING: China hari ini mendakwa bahawa pasukan tenteranya terpaksa ‘bertindak balas’ selepas askar India melintasi sempadan Himalaya dan melepaskan tembakan.

Hubungan antara dua negara jiran yang memiliki senjata nuklear itu merosot sejak pertempuran di rantau Ladakh pada 15 Jun lalu yang menyaksikan 20 tentera India terbunuh.

Kementerian Pertahanan China menuduh India melakukan ‘provokasi ketenteraan melampau’ selepas askarnya melintasi Garisan Kawalan Sebenar di kawasan sempadan barat, semalam, selain ‘melepaskan tembakan bagi mengugut pegawai peronda pertahanan sempadan China’.

“Tentera pertahanan sempadan China terpaksa bertindak balas untuk menstabilkan keadaan,” kata jurucakap Pasukan Medan Barat, Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China, Zhang Shuili.

Shuili mendakwa, India melanggar perjanjian dicapai kedua-dua negara itu, sekali gus memberi amaran bahawa tindakan mereka boleh ‘menimbulkan salah faham dan keputusan yang salah’.

Beliau turut menggesa India supaya mengundurkan pasukan tenteranya yang melintasi sempadan itu dan melakukan siasatan terhadap pegawai yang melepaskan tembakan.

Kedua-dua negara telah mengerahkan puluhan ribu anggota tentera ke kawasan sempadan Himalaya terbabit yang menjadi pertikaian dan terletak di altitud lebih 4,000 meter.

Menteri Pertahanan China dan India bertemu di Moscow pada satu mesyuarat antarabangsa pada minggu lalu, dengan kedua-dua pihak kemudian mengeluarkan kenyataan saling menuduh satu sama lain.

Setakat ini, tiada komen atau pengesahan daripada pihak tentera India berhubung insiden semalam. – AFP