IPOH: Pesara guru yang pernah tular di media sosial kerana hidup dalam timbunan sampah sarap di rumahnya di Taman Bersatu, Ipoh, Perak tidak lagi mengumpul sampah di rumahnya.

Sebaliknya, Chung Sook Khuan, 63, diberi tempat khas di dua buah pusat kitar semula yang berhampiran dengan rumahnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, Majlis Bandaraya Ipoh sentiasa memantau bagi memastikan bekas guru itu tidak lagi mengumpul sampah di rumahnya, seperti sebelum ini.

“Dia masih lagi meneruskan aktiviti dia, JKM memang ada beri kaunseling masa ke semasa mengikut keperluan.

“Kita dah pesan kepada Cikgu Chung dia boleh terus buat macam biasa (kutip) sampah tetapi dia kena bawa ke pusat kitar semula berdekatan rumah dia,” katanya di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan Cikgu Chung yang pernah tular di media sosial Oktober lalu kerana rumahnya, termasuk di bahagian dalam, dipenuhi sampah.

Pesara guru yang hidup dalam timbunan sampah sarap di rumahnya disahkan normal dan tidak mengalami stress.

Ujian saringan kesihatan mental (DASS) yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Daerah Kinta mengesahkan mengesahkan kesihatannya seperti manusia biasa.