KUCHING: Datuk Seri Najib Razak mahu semua parti komponen Barisan Nasional (BN) belajar, seterusnya mengadaptasikan semangat permuafakatan dan penyatuan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sekali gus menjadikan parti politik terkuat di Malaysia.

Bagi Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Pusat, dua elemen berkenaan adalah tonggak penting dalam memperkukuhkan persiapan semua parti komponen, khususnya di peringkat akar umbi dalam mendepani cabaran Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang semakin hampir.

“PRU-14 dijangka pilihan raya paling mencabar dalam sejarah negara. Justeru, kita memerlukan persediaan secukupnya, terutama dengan berpaksikan semangat permuafakatan dan penyatuan dalam kalangan parti komponen.

“Ini sudah lama wujud dalam PBB, sekali gus menjadikannya sebuah parti dominan kita di Sarawak. Kita boleh berkongsi sama pengalaman mereka (PBB) itu bagi mewujudkan suatu konsep kejituan dalam kalangan parti komponen lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung PBB Ke-14 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg merangkap Presiden PBB bersama kedua-dua timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Najib ketika mengulas lanjut, berkata PBB sebagai parti komponen terbesar di Sarawak turut memiliki struktur organisasi kepemimpinan yang cukup teratur, malah tidak pernah berdepan perebutan kuasa, sebaliknya diselesaikan melalui ‘perundingan keluarga’, sekali gus mengelak risiko perpecahan dan kewujudan kumpulan atau puak tertentu.

“Tahniah Datuk Amar Abang Johari (Abang Openg) kerana kekal menjadi Presiden PBB, begitu juga Datuk Amar Douglas (Uggah Embas) dan Datuk Amar Awang Tengah (Ali Hassan) dipilih menjadi Timbalan Presiden. Difahamkan, tiga jawatan utama ini tidak dipertanding berdasarkan usul dari akar umbi. Inilah uniknya mengenai PBB.

“Ada jawatan dipertandingkan, tetapi menang tanpa bertanding apabila ada pihak lain membuka laluan. Dalam PBB, tiada berebut jawatan kerana perpaduan parti sentiasa dititikberatkan. PBB cukup jelas berpegang kepada dasar politik matang. Inilah yang kita mahu pelajari dari PBB, terutama dalam kalangan parti komponen lain,” katanya.

Najib berkata, tidak menjadi kesalahan untuk semua parti komponen BN lain menggunapakai metodologi dibudayakan PBB, khususnya dalam mendepani persekitaran iklim politik yang kini semakin jauh berbeza.

“Kita dapat melihat kekuatan PBB berpaksikan kepada kekuatan dalaman parti terutamanya kesatuan dan permuafakatan antara barisan kepimpinan tertinggi parti hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau bersikap optimis dan yakin dengan keupayaan BN Sarawak, terutama PBB mengekalkan keputusan ‘A+’ dalam PRU14.

“Kita akan pastikan BN Sarawak… PBB bukan sahaja memperoleh majoriti lebih besar, bahkan mandat penuh rakyat bagi membentuk kerajaan yang kuat dan utuh dalam membawa negara ke era masa depan yang lebih cemerlang.

“Sudah pasti PBB di bawah ‘Tim Adenan’ yang kini dipimpin kapten baharu, Datuk Patinggi Abang Johari (Abang Openg) kekal menjadi benteng kekuatan BN secara keseluruhannya,” katanya. – berita harian