KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini melibatkan lapan kes import dan selebihnya kes penularan tempatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 9,267 kes, dengan kes aktif kebolehjangkitan berjumlah 183 kes.

Dr Noor Hisham berkata lapan kes import yang dilaporkan membabitkan tiga warga tempatan dan lima bukan warganegara.

“Lapan kes import tersebut adalah dari negara Jepun dengan tiga kes di Sarawak, Indonesia dengan tiga kes (dua kes di Selangor dan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Republik Maldives dengan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Mexico dengan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kedua-dua kes penularan di dalam negara melibatkan warga Malaysia iaitu kes daripada Kluster Tawar di Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

-BERNAMA