PUTRAJAYA: Sebanyak 66 kes pulih dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 6,470 kes atau 82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham, berkata bilangan kes yang dibenarkan pulang hari ini lebih dua kali ganda bilangan kes baharu.

Katanya, ada 20 kes baharu sehingga jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 7,877 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,292 kes. Mereka kini sudah diasingkan dan diberi rawatan lanjut.

“Ingin dimaklumkan daripada 20 kes baharu yang dilaporkan, 15 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada lima kes penularan di dalam negara, tiga kes bukan warganegara dan dua kes dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dan jumlahnya kekal sebanyak 115 kes atau 1.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. -BH