IPOH: Sebanyak 21 buah Sekolah Agama Rakyat Intergrasi KAFA dan tujuh buah tadika Islam di Perak ditutup sementara kerana terkesan dengan kes jangkitan COVID-19.

Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, sekolah dan tadika itu ditutup mulai 14 hingga 25 Oktober.

Menurutnya, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyediakan peruntukan RM2.2 juta untuk kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi sekolah dah tadika berkenaan.

Katanya, kesemua sekolah dan tadika itu terletak di daerah Manjung, Larut Matang Selama Kerian dan Kinta.

“Kita jangka kemungkinan ada lagi sebab ada beberapa tempat masih lagi para pelajar melalui swap test.

“Jika nasihat daripada MKN dan KKM perlu ditutup, maka akan kita keluarkan lah pekeling ataupun arahan untuk ditutup,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini

Menurut Mohd Akmal, ada di antara sekolah dan tadika itu telah selesai menjalankan aktiviti pembersihan dan ada juga yang masih dalam proses.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya jangan panik kerana penutupan dan kerja-kerja disinfeksi yang dijalankan adalah prosedur biasa untuk menyekat penularan COVID-19.

“Semua kita termasuk pihak kerajaan, ibu bapa dan semua pihak perlu bekerjasama untuk menyekat penularan pandemik ataupun COVID-19 ini,” ujarnya.

Beliau mengingatkan pihak sekolah agama rakyat dan tadika Islam di Perak supaya mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan menutupnya jika perlu.