PUTRAJAYA: Terdapat pertambahan 260 kes baharu positif COVID-19 direkodkan pada Khamis sekali gus merupakan jumlah kes baharu kedua tertinggi sejak Februari.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pertambahan kes ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini sebanyak 11,484 kes.

Oleh itu, katanya jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 meningkat kepada 1,334 kes.

“Daripada 260 kes yang direkodkan hari ini, hanya satu kes import yang direkodkan melibatkan bukan warganegara Malaysia dari United Kingdom.

“Sementara itu, daripada 259 kes penularan tempatan, 130 kes melibatkan warganegara Malaysia dan 129 bukan warganegara,” katanyta dalam sidang media di sini, hari ini.

Pada masa sama, terdapat 20 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini dan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, tiada pertambahan kematian direkodkan hari ini, justeru jumlah kematian kekal 136 kes.