KUALA LUMPUR : Sejumlah 563 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam dengan hampir 52 peratus daripadanya membabitkan jangkitan di Sabah manakala Pulau Pinang (25 peratus).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes mencecah 16,220 dengan 5,039 kes aktif.

Daripada 562 kes penularan di dalam negara, 498 kes adalah warganegara Malaysia dan 64 kes adalah bukan warganegara.

“Daripada 562 kes penularan di dalam negara, 10 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 363 kes,” katanya dalam sidang akhbar menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, dua kematian akibat COVID-19 dilaporkan menjadikan 159 kematian dilaporkan (satu peratus).

“Sehingga kini, terdapat 98 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 29 kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya.