PUTRAJAYA: Sejumlah 865 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu dengan lebih 74 peratus daripadanya membabitkan jangkitan di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes mencecah 21,363 dengan 7,456 kes aktif.

Beliau memberitahu, daripada 865 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan tiga warganegara dan empat bukan warganegara.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, tiga kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian adalah 190 kes, bersamaan 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 99 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 31 kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya.