PUTRAJAYA : Bayi berusia lapan bulan ialah antara tujuh kes baharu COVID-19 dilaporkan, hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, bayi terbabit disahkan positif wabak itu selepas menjalani saringan untuk prapembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS) di Likas, Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Kesihatan sedang membuat siasatan lanjut berhubung punca jangkitan COVID-19 terhadap bayi berkenaan.

“Siasatan termasuk melakukan ujian saringan terhadap ahli keluarga serta bagaimana jangkitan boleh berlaku, dan perkara itu masih dalam proses,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, satu lagi kes baharu yang direkodkan di Kluster Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, membabitkan seorang pegawai imigresen bantuan.

Beliau berkata, kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia yang tidak mengalami gejala itu dipercayai terdedah kepada pesakit, dan kini sedang menerima rawatan serta diasingkan.