IPOH: Sekolah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al-Baqir Bagan Serai dan SMK Pekan Baru, Parit Buntar ditutup selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 30 Oktober kerana terkesan penularan wabak COVID-19.

Sesi persekolahan kedua-dua sekolah tersebut akan dibuka semula pada hari Isnin, 2 November.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO Dan Masyarakat Sivil Negeri Perak, Razman Zakaria ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Berikutan risiko penularan wabak COVID-19 yang tinggi, tindakan iki diambil sebagai langkah pencegahan awal selari dengan kehendak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, ibu bapa dan guru diminta terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memastikan penjagaan jarak sosial ketika berada di tempat awam, pemakaian pelitup muka, penjagaan kebersihan diri dan sebagainya.

Menurutnya, sebagai langkah susulan, semua sekolah yang terlibat dan mempunyai risiko kebolehjangkitan virus COVID-19 ini akan disanitasi dalam masa terdekat.

“Diharapkan semua ibu bapa dapat memantau kesihatan anak masing-masing dan segera mendapatkan rawatan sekiranya didapati bergejala seperti demam, batuk dan selesema khususnya bagi murid yang bersekolah di sekolah-sekolah terbabit,” ujarnya.