ALOR GAJAH: Dua buah sekolah di daerah ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Berembang di Masjid Tanah ditutup bermula hari ini selepas dua pelajar disahkan positif Covid-19. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu kedua-dua sekolah tersebut ditutup selama tujuh tujuh hari sehingga 21 Oktober depan. 

Menurutnya, dua pelajar berkenaan yang merupakan adik-beradik dan kesemua lapan ahli keluarganya disahkan positif Covid-19 selepas mengadakan satu majlis kenduri awal bulan ini yang turut dihadiri ibu saudara yang baru pulang dari Labuan, Sabah. 

“Pelajar berkenaan menginap di Kampung Nerambai, Negeri Sembilan dan seluruh anggota keluarga tersebut yang disahkan positif kini telah dibawa ke Hospital Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah sedang melakukan pengesanan kontak dalam kalangan guru, pelajar serta kakitangan kedua-dua sekolah yang terlibat.

“Pengesanan kontak sedang dilakukan bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit dan membolehkan kerja-kerja nyah cemar dan sanitasi dijalankan.

“Saringan pengesanan kontak telah diatur selain proses disinfeksi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri juga akan dilakukan,” tambahnya.

Terdahulu, setakat pukul 12 tengahari semalam, Melaka mencatatkan sembilan kes aktif dengan dua kes baharu dilaporkan di daerah Alor Gajah. -UTUSAN