TAIPING: Enam buah sekolah di daerah Larut Matang Selama (LMS) akan ditutup selama tujuh hari bermula esok susulan terdapat kes positif COVID-19 membabitkan warga sekolah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII, SMK (P) Treacher Methodist, SMK Bukit Jana, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jana, SK Convent Kota dan SK Ulu Mengkuang.

Menurutnya, penutupan itu selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah pencegahan awal mengurangkan risiko penularan wabak.

“Apatah lagi kedudukan sekolah-sekolah ini hampir dengan kawasan pusat tahanan perlindungan di Taiping yang mempunyai rekod jangkitan Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar tidak panik dengan situasi itu di samping mematuhi segala arahan dikeluarkan pihak sekolah.

Katanya, semua warga dan pengurusan sekolah di negeri ini perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan kebersihan dipatuhi.

“Kita akan terus memantau situasi ini dari masa ke masa dan kita mohon semua warga sekolah agar segera melaporkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing sekiranya berlaku penularan Covid-19,” ujarnya.