KUALA LUMPUR: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dijadualkan semula berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 kebelakangan ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan berkata fasa kedua banci (secara bersemuka) yang akan bermula 7 hingga 24 Okt ini dijadualkan semula kepada 20 Jan sehingga 6 Feb 2021.

Beliau berkata pembancian dalam talian (e-Census dan Temu Ramah Melalui Telefon dengan Bantuan Komputer (CATI) yang telah berakhir pada 30 Sept lepas akan disambung semula pada 7 Okt sehingga 21 Dis ini.

“Dalam tempoh ini, orang ramai yang belum melengkapkan atau mengisi borang bancian digesa supaya melakukannya melalui laman https://www.mycensus.gov.my/. Langkah ini untuk mengurangkan pertemuan bersemuka yang akan meningkatkan risiko jangkitan COVID-19,” katanya.

Katanya, Akta Banci 1960 (disemak 1969) mengkehendaki orang ramai untuk mengambil bahagian dan menjawab semua soalan banci.

“Data penduduk dan perumahan amat penting untuk kerajaan merangka dasar bagi kesejahteraan negara. Ini bagi memastikan setiap perancangan yang dibuat menepati kumpulan sasar dan tiada yang tercicir,” kata Mustapa. – Bernama