JERANTUT: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut menutup Masjid Tengku Ahmad dan Surau Al-Muflihin, Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Peringkat 3 dan 4 dekat sini susulan pengesanan kes positif COVID-19 di daerah itu.

Penutupan selama 14 hari itu turut membabitkan semua tadika dan taska di PAKR Peringkat 3 dan 4.

Pengerusinya, Khairunnisa Aris, berkata tindakan itu dibuat susulan terdapat empat kes positif di PAKR 3 dan 4 juga PAKR Bandar Baru, Jerantut pada 25 September lalu.

“Semua mereka dikesan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

“Sebagai langkah keselamatan, semua aktiviti Pekan Sehari dan Pasar Malam, ditangguhkan selama 14 hari begitu juga dengan penganjuran majlis keramaian dan program berskala besar.

“Kontak rapat kes positif yang hadir ke sekolah sebelum pengesanan dibuat, kelas terbabit akan ditutup,” katanya.

Katanya, semua pusat riadah dan rekreasi di lokasi yang tidak dapat menjamin penjarakan fizikal di

kawasan sekitar bandar Jerantut tidak dibenarkan beroperasi, termasuklah Padang FA, Bukit Seladang, Bukit Panau, Bukit Merah, Via-Feratta Paya Gunung dan Taman Tasik Teratai.

“Bagi mengelakkan situasi panik yang tidak berasas, kerjasama semua adalah diminta untuk tidak

menjadi ejen penularan maklumat yang tidak sahih atau palsu.

“Penyebaran maklumat palsu boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 [Akta 588],” katanya. – Berita Harian