KUALA LUMPUR: Jurang pendapatan di antara golongan kaya dan miskin dalam negara dikhuatiri menjadi luas susulan impak ekonomi akibat COVID-19.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah di Malaysia Institute of Economic Research (MIER) & dan felo penyelidik di  IKMAS UKM Dr Muhammed Abdul Khalid berkata ini kerana golongan berpendapatan rendah paling terdedah kepada risiko ekonomi.

Jelas beliau, pada masa sama, golongan kaya tidak terlalu terkesan dengan impak ekonomi akibat COVID-19.

Muhammed turut menjangka akibat COVID-19, jurang pendapatan akan terus melebar kerana peratusan tertinggi yang hilang pekerjaan adalah golongan bawahan, terutamanya golongan yang bekerja sendiri.

“Malah, pekerja sendiri tidak mendapat bantuan seperti upah gaji ataupun skim insuran pekerja.

“Manakala, pada masa yang sama, pasaran saham yang telah naik hampir 20 peratus sejak April tahun ini menguntungkan golongan atasan, dan ini antara faktor yang melebarkan jurang antara kaya dan miskin,” tegasnya.

Pada masa sama beliau bertegas bahawa landskap ekonomi ketika ini tidak mencerminkan fasa pemulihan, sebaliknya tempoh paling sukar dalam ekonomi belum lagi dirasai, terutamanya apabila tempoh monotarium dan juga subsudi upah tamat tempoh dalam tempoh terdekat.

Ia juga diburukkan lagi apabila negara rakan dagang Malaysia masih tidak menunjukan pemulihan.

Tegasnya, bagi membantu menjayakan fasa pemulihan, dasar intervensi kerajaan harus bersifat lebih holistik dan bukannya ad-hoc demi memberi keyakinan kepada pelabur dan rakyat.

Beliau memberi contoh di mana subsidi upah mulanya hanya diberikan untuk tiga bulan yang kemudiannya  dilanjutkan tiga bulan lagi, berbanding Singapura yang menyediakan subsidi upah untuk tempoh yang lebih lama lantas memudahkan firma dan syarikat untuk membuat pelan pemulihan yang lebih baik.

Dr Muhammed ditemui selepas webinar Legasi-PERKEM, “COVID-19: Cabaran dan Strategi kepada Golongan Marhaen” yang disiarkan menerusi Facebook Universiti Kebangsaan Malaysia. -AWANI