KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memutuskan menutup semua sekolah di negeri ini termasuk taska, pusat jagaan dan taman asuhan berkuat kuasa hari ini.


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata keputusan itu dibuat selepas angka bilangan kes positif COVID-19 di negeri itu meningkat kepada tiga angka.

Penutupan tersebut turut merangkumi beberapa sektor seperti menutup pasaraya kecuali premis perniagaan yang membekalkan perkhidmatan dan barangan perlu, tamu, pasar malam dan pasar tani, rumah-rumah ibadat, taman awam dan rekreasi.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah COVID-19 memutuskan untuk melaksanakan perkara tersebut jika diberikan persetujuan oleh Majlis Keselamatan Negara MKN.

“Kita hanya membenarkan operasi premis perniagaan untuk perkhidmatan dan barangan perlu.

“Menutup sekolah-sekolah termasuk taska, pusat jagaan dan tadika serta menghadkan kapasiti kenderaan persendirian kepada dua orang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Tambahnya pengurangan kapasiti penumpang turut melibatkan kenderaan awam kepada 50 peratus kapasiti seperti perkhidmatan bas henti-henti.

Justeru, katanya, kerajaan negeri berharap agar perkara yang disenaraikan tersebut dipersetujui MKN.

Mengikut perancangan, pelaksanaan tersebut dijangka berkuat kuasa 5 Oktober hingga 16 Oktober ini.