ALOR SETAR: Kedah Medical Centre (KMC) menutup perkhidmatan pesakit luar dan dalam selama tiga hari bermula hari ini untuk kerja pembersihan dan sanitasi secara menyeluruh susulan pengesahan kes COVID-19 di hospital itu.

Pengarah Perubatan KMC, Datuk Dr Kamaruzzaman Ali, berkata keputusan itu dicapai selepas pertemuan dengan pihak berkuasa kesihatan negeri.

“Penutupan sementara hospital membolehkan kami menjalankan pembersihan menyeluruh di hospital ini.

“Walaupun hospital ini menutup perkhidmatannya dalam tempoh itu, perkhidmatan di bahagian kemalangan dan kecemasan KMC akan terus dibuka untuk kes kecemasan sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata pesakit yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke KPJ Pulau Pinang atau Hospital Pakar KPJ Perlis.

Dr Kamaruzzaman memaklumkan sehingga 11.25 pagi semalam, 18 kakitangan dan tujuh ahli keluarga mereka dikenal pasti positif COVID-19 dan 619 pekerja sudah diperiksa.

“KMC juga melakukan pengesanan kontak dengan segera dan semua staf yang mempunyai kontak sudah dikenal pasti, diuji dan dikuarantin.

“Sebagai tambahan, KMC akan menawarkan 44 pesakit dalam, menjalani ujian antigen serta ujian PCR,” katanya.

Dr Kamaruzzaman berkata, semua pesakit dalam yang sudah diperiksa oleh perunding perubatan masing-masing, akan didiscaj sepatutnya.

Beliau juga berkata, KMC sudah membuat tindakan pencegahan terhadap COVID-19 dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta bekerjasama dengan pegawai kesihatan awam dan Kementerian Kesihatan untuk memastikan semua pesakit mendapat rawatan terbaik.

“Semua operasi akan bersambung semula pada 13 September dan pesakit boleh meneruskan pelan penjagaan sedia ada di hospital itu,” katanya.– BERNAMA