PUTRAJAYA: Malaysia menangguhkan penghantaran jemaah haji tahun ini, berikutan penularan wabak COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata penangguhan bagi musim haji mengambil kira keutamaan kesan kesihatan kepada penduduk negara ini.

“Saya ingin mengumumkan kepada semua rakyat Malaysia bagi musim haji 1441H ditangguhkan ke tahun depan.

“Tabung Haji akan mengeluarkan kenyataan dan soalan lazim berkaitan penangguhan haji ini,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Ditanya mengenai jika ada penambahan kuota tahun depan berikutan penangguhan tahun ini, Zulkifli berkata, jumlah itu bergantung kepada perbincangan dengan kerajan Arab Saudi selepas ini.

Sebelum ini, beliau memaklumkan jumlah jangkitan COVID-19 melebihi 100,000 kes antara pertimbangan kerajaan Malaysia membenarkan jemaah ke Makkah.