PUTRAJAYA: Hanya pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40), selain pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh memohon pengecualian pembayaran kos kuarantin.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebaik pelajar terbabit tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mereka perlu memaklumkan sekretariat yang bertugas dan semakan akan dibuat dengan merujuk pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya selepas pengesahan dibuat, pelajar yang layak akan diberi borang kelulusan yang perlu dikemuka kepada pihak hotel sewaktu membuat pendaftaran bilik.

“Bagi pelajar yang telah tamat pengajian pula, hanya mereka yang bawah tajaan sahaja tidak perlu membayar kos kuarantin kerana kos ditanggung oleh pihak penaja.

“Caj kos kuarantin di semua stesen kuarantin sama ada hotel ataupun institut latihan awam (ILA) adalah sama,” katanya dalam satu kenyataan media, hati ini.

Ismail berkata, individu yang enggan membayar caj kuarantin atau menandatangani LoU (perjanjian pembayaran), mereka akan dihantar ke ILA terlebih dahulu, memandangkan kemudahan itu adalah milik kerajaan dan penempatan individu terbabit boleh dilakukan tanpa pembayaran deposit.

Beliau berkata, ia bagi mengelakkan individu terbabit terdedah kepada orang awam.

Katanya, di ILA, mereka perlu menyelesaikan pembayaran caj kuarantin (RM150 sehari) dalam masa 14 hari dan sekiranya gagal, mereka akan dikenakan kompaun RM1,000 dan tindakan mahkamah.