KUALA LUMPUR: Pusat beli belah 3 Damansara memaklumkan seorang daripada pengawal keselamatannya yang bertugas di bahagian pusat arahan bomba positif COVID-19 pada Ahad.

Pengurusan premis berkenaan memberitahu, pekerja tersebut tidak bertugas sejak 9 Oktober lalu selepas rakan serumahnya disahkan positif virus itu.

“Kami telah segera melakukan kerja-kerja pembasmian dan menyah kuman kawasan-kawasan yang pernah dikunjungi oleh pekerja itu.

“Kami juga telah meningkatkan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman dengan lebih kerap di kawasan umum terutama di blok pusat beli belah dan pejabat,” jelas kenyataan itu pada Ahad.

Sementara itu, pusat beli belah tersebut mengesahkan pekerja lain yang mungkin melakukan kontak rapat dengan pesakit tersebut sudah diuji negatif virus berkenaan.

Bagaimanapun, kesemua pekerja itu akan menjalani ujian saringan kali kedua bagi memastikan kesihatan mereka terjamin sebelum dibenarkan kembali bekerja.

Pihak pengurusan 3 Damansara juga tidak akan menutup premis tersebut dan hanya akan memperincikan kerja-kerja pembersihan sebaik tamat waktu operasi beli belah itu pada Ahad.