Kuala Lumpur: Sebanyak 935 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini, dengan tiga kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata, bilangan kes sembuh sebanyak 2,555 kes, iaitu tertinggi setakat ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 49,056 kes (80.7 peratus daripada jumlah keseluruhan).

Menurutnya, kes baharu itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 60,752 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 11,348 kes.

“Terdapat empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 931 kes adalah penularan Covid-19 dalam negara.

“Hari ini, Sabah melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 326 kes (34.9 peratus), diikuti Selangor sebanyak 161 kes (17.2 peratus) dan Negeri Sembilan 158 kes (16.9 peratus),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 103 kes (11.0 peratus) yang dilaporkan adalah berkaitan kluster di lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Bakti (95 kes), Kluster Tembok (lima kes), Kluster GK Tawau (dua kes) dan Kluster Penjara Kepayan (satu kes).

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 110 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, empat kematian yang dilaporkan hari ini membabitkan dua wanita dan seorang lelaki warga negara berusia antara 59 hingga 77 tahun.

“Kematian ke-346 membabitkan seorang wanita berusia 70 tahun yang meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sabah, manakala kematian ke-347 membabitkan seorang lelaki berusia 59 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi dan asma.

“Lelaki itu meninggal di Hospital Queen Elizabeth. Sementara kematian ke-348 membabitkan seorang wanita berusia 77 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis serta darah tinggi dan kematiannya disahkan di Hospital Tawau,” katanya.