COVID-19: Sebuah lagi sekolah di Perak ditutup mulai hari ini setelah terdapat satu kes positif Covid-19 dikesan membabitkan seorang pelajar.

Dalam masa sama, penutupan Sekolah Kebangsaan (SK) Lekir, Sitiawan, mulai 14 Oktober lalu dilanjutkan sehingga 26 Oktober.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria, berkata Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Haji Mohd Taib, Chemor mula ditutup pagi ini

“Penutupan SK Lekir dilanjutkan sehingga 26 Oktober ini berikutan pihak sekolah mengesan masih ada kes yang timbul membabitkan kontak rapat,” katanya ketika ditemui selepas meninjau projek membaik pulih dan pelebaran jalan di lima lokasi di Gunung Semanggol bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Kerian, di sini, hari ini.

Razman lanjutan penutupan itu dibuat boleh membolehkan proses nyah kuman atau sanitasi dijalankan.

Mengenai kebimbangan ibu bapa, beliau menasihatkan mereka tidak perlu panik.

Malah, katanya, tiada keperluan untuk memendekkan baki tempoh persekolahan tahun ini berikutan hanya beberapa sekolah sahaja yang merekodkan kes positif.

Menurutnya, Perak mempunyai lebih 1,000 sekolah sedangkan yang terpaksa ditutup hanya beberapa buah sahaja.

“Justeru tiada keperluan untuk memendekkan tempoh baki persekolahan bagi sesi tahun 2020 dan juga tiada perubahan dasar dibuat di peringkat kementerian,” ujarnya.