KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenakan sekatan perjalanan dari Sabah dan ke Sabah melibatkan Semenanjung, Sarawak dan Labuan bermula Rabu, 7 Oktober sehingga 20 Oktober 2020.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu kenyataan media pada Selasa berkata keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira peningkatan kes COVID-19 di seluruh Sabah.

Bagaimanapun, katanya, terdapat pengecualian khas diberikan kepada kes-kes tertentu yang melibatkan kes kecemasan, kematian, perkhidmatan perlu dan lain-lain yang perlu mendapat kebenaran dari Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mereka yang telah mendapat kebenaran juga perlu menjalani ujian saringan COVID-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing,” katanya.

Bagi pergerakan masuk ke Sabah, kebenaran diberikan kepada kategori seperti berikut:

  • Rakyat Sabah yang memegang MyKad kod H
  • Pasangan kepada rakyat Sabah yang memiliki pas imigresen Malaysia yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sabah, atau bukti perkahwinan dan sijil lahir anak.
  • Pekerja bidang perkhidmatan perlu (essential service) yang mempunyai pas Imigresen Malaysia yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, negeri Sabah.
  • Pelajar bukan rakyat Sabah yang mempunyai kad/pas pelajar daripada Jabatan Imigresen Malaysia, negeri Sabah.
  • Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sabah perlu mendapatkan cop seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 di pejabat Imigresen Sabah setelah masuk ke Negeri Sabah
  • Pemastautin tetap Sabah yang memiliki MyPR kod H atau Kad Permit Masuk atau endosmen permit masuk dalam passport.
  • Mereka hendaklah membuat permohonan kepada Jabatan Ketua Menteri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan untuk pertimbangan.
  • Mereka juga akan menjalani ujian saringan COVID-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing.

Sebarang pertanyaan lain boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Bencana Negeri Sabah di talian 088-369434.

Dalam perkembangan berhubung operasi pematuhan PKPP, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 363 individu pada Isnin atas kesalahan ingkar arahan PKPP.

“Daripada jumlah itu, seramai 307 individu dikompaun, 56 lagi direman,” katanya.

Beliau berkata antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (144), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (129) dan gagal menjaga penjarakan fizikal (53), premis beroperasi lebih masa (17), aktiviti dalam pub dan kelab malam (15), masuk kawasan PKPDB tanpa kebenaran (dua), langgar perintah kuarantin (satu), menjalankan aktiviti perjudian (satu), dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah (satu).

Menerusi Operasi Benteng yang dijalankan pula, beliau berkata 151 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong ditahan.

Katanya lagi, lima kenderaan darat juga berjaya dirampas.