IPOH: Susulan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan berkaitan COVID-19 mulai 18 hingga 31 Mac 2020, semua urusan di Mahkamah Syariah seluruh Perak yang dijadualkan dalam tempoh tersebut ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Urusan tersebut termasuklah prosiding sebutan, majlis sulh, perbicaraan dan urusan-urusan yang berkaitan.

Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syarie Negeri Perak, Ab. Rahman Thobroni Mohd Mansor berkata, arahan itu telah dikeluarkan oleh Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, Datuk Asa’ari Mohd Yazid melalui memo bertarikh 17 Mac 2010.

Menurutnya, memo tersebut ditujukan kepada orang awam, Peguam-Peguam Syarie, Jabatan Bantuan Guaman, Bahagian Sokongan Keluarga, Pejabat Penguatkuasa Agama Islam dan Jabatan Pendakwa Syarie Negeri Perak.

“Sekiranya ingin mendapatkan penjelasan lanjut, tuan/puan boleh menghubungi Ketua Pendaftar di talian 012-5173194 atau Penolong Pendaftar 017-5911067,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata, semua majlis akad nikah di Perak hendaklah ditangguhkan sepanjang tempoh kawalan COVID-19, bermula 21 Mac sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurutnya, semua Pegawai Tadbir Agama (PTA) perlu mengambil maklum mengenai arahan tersebut dan membuat tindakan lanjut mengikut daerah masing-masing.