IPOH: Sekolah Kebangsaan (SK) Klian Pauh di Taiping akan ditutup selama tujuh hari mulai Khamis selepas terdapat kes jangkitan wabak COVID-19 di sekolah berkenaan.

Pengarah Pendidikan Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata sekolah itu akan dibuka semula pada 30 Okt ini.

“Penutupan ini dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam notis pemakluman penutupan sekolah yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Jabatan Pendidikan negeri Perak hari ini.

Penutupan terbaharu itu menjadikan sebanyak enam sekolah ditutup di negeri ini susulan pandemik COVID-19.

Lima sekolah lain adalah SK Klebang Jaya; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor dan SMK Dato Haji Mohd Taib di Ipoh, SK Tanah Kebun dan SMK Raja Lope Nor Rashid, Parit Buntar dan SK Lekir Batu 8 di Sitiawan, Manjung.

Sementara itu, enam sekolah yang ditutup tujuh hari sejak 12 Okt lalu iaitu SMK King Edward VII, SMK (P) Treacher Methodist, SK Convent Kota, SMK Bukit Jana, Kamunting dan SK Taman Jana, Kamunting yang kesemua terletak di Taiping serta SK Ulu Mengkuang di Selama telah dibuka pada Isnin.