DUNGUN: Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Ismail di sini, ditutup selama lapan hari selepas seorang pelajarnya disahkan positif COVID-19.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani, berkata sekolah terbabit ditutup mulai hari ini hingga 15 Oktober selepas seorang pelajar Tingkatan Satu disahkan terkena jangkitan virus itu.

Beliau berkata, seorang ahli keluarga pelajar terbabit menjadi kluster kenduri perkahwinan di Kampung Bemban, Dungun, yang disahkan positif menghidap virus tersebut pada 7 Oktober lalu

“Arahan penutupan sekolah agama berkenaan adalah bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit dan membolehkan kerja membasmi kuman dijalankan.

“Seramai 66 orang guru dan 832 pelajar sekolah terbabit akan menjalani saringan COVID-19 dan juga kontak rapat pelajar berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus, berkata ujian saringan akan dilakukan terhadap kontak rapat pelajar berkenaan pagi esok.

SMA Sultan Ismail ialah sekolah keempat ditutup di Terengganu selepas Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir di Kuala Nerus pada 5 Oktober lalu, manakala SK Padang Kemunting pada 2 Oktober berikutan kes positif COVID-19 dikesan di premis terbabit.

Sementara itu, JKNT turut mengarahkan penutupan Masjid Paya Resak, Marang, selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta hingga Ahad ini.

Dr Nor Azimi berkata, penutupan sementara masjid itu terpaksa dilakukan berikutan terdapat satu kes positif COVID-19 yang dikesan semalam.

Jelasnya, seorang jemaah dikesan menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan, minggu lalu.

“Hasil keputusan ujian saringan dilakukan terhadap jemaah itu, ia disahkan positif COVID-19 dan kita memutuskan aktiviti termasuk solat berjemaah di masjid berkenaan dihentikan selama tiga hari berkuat kuasa, hari ini.

“JKNT sudah menghantar surat perintah penutupan premis bagi kawalan perebakan penyakit berjangkit kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) hari ini, ” katanya.

Dr Nor Azimi berkata, JHEAT dan jawatankuasa masjid berkenaan diperintah mematuhi arahan kerja membasmi kuman atau melakukan sanitasi.