KUALA LUMPUR: Pusat beli-belah, Bangsar Shopping Centre (BSC) di sini akan ditutup buat sementara waktu selepas salah seorang pekerja di sebuah kedai jualan penjagaan kulit disahkan positif COVID-19.

Dalam satu kenyataan ringkas yang dibuat menerusi laman Facebook rasminya, pekerja di premis berkenaan didapati tidak menunjukkan sebarang gejala sewaktu bekerja pada 6 Oktober lalu.

“Kami dimaklumkan dengan satu kes positif COVID-19 yang melibatkan kakitangan kedai produk penjagaan kulit iaitu Origani, di aras bawah.

“Kakitangan tersebut bertugas pada Selasa, 6 Oktober 2020 dan pada masa itu tidak menunjukkan sebarang gejala. Pekerja itu tidak berada di BSC sejak itu,” jelas pusat beli-belah itu pada Ahad.

Susulan itu, butik tersebut menutup premis kedainya dan meminta semua pekerjanya menjalani ujian saringan mengikut saranan Kementerian Kesihatan (KKM).

BSC turut membuat kenyataan bahawa pihaknya akan menutup premis pusat beli-belah itu bermula pukul 8 malam Ahad bagi kerja pembasmian kuman dan kembali beroperasi pada Isnin (12 Oktober).