PUTRAJAYA:  Surau di pusat beli belah dan kawasan rehat dan rawat (R&R) boleh dibuka seperti biasa mulai esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mesyuarat khas hari ini membenarkan pembukaan semula surau di pusat beli belah dan R&R.

“Kita tahu rentas negeri kini dibenarkan mulai esok dan saya percaya ramai akan melakukan perjalanan jauh.

“Begitu juga dengan pusat beli belah, sudah ramai pengunjung. Jadi, mulai esok semua dibuka. Bagaimanapun, ia tetap tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kepada mereka yang mahu menunaikan ibadat solat di surau, perlu amal disiplin diri dengan mengamalkan penjarakan sosial dan sebagainya yang sudah ditetapkan majlis agama,” katanya dalam sidang media harian di sini, hari ini.

Beliau juga mengumumkan bahawa gerai, selain kedai makan di kawasan rehat premis juga dibenarkan untuk beroperasi.

“Selain gerai makan, banyak juga gerai lain yang menjual makanan kering dan sebagainya juga boleh beroperasi mula esok,” katanya. -BH