IPOH: Taman tema Sunway Lost World Of Tambun dekat sini ditutup sementara kerana salah seorang pengunjung disyaki terlibat COVID-19.

Menurut kenyataan pihak pengurusan taman tema itu, mereka difahamkan secara lisan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai kes tersebut.

Sehubungan itu, katanya, mereka akan menutup Sunway Lost World Of Tambun dan Sunway Lost World Hotel selama 14 hari, bermula dari 13 Oktober 2020 hingga 26 Oktober 2020 bagi kerja-kerja pembersihan yang mendalam di sekitar taman tema dan hotel kami untuk melindungi para pengunjung dan orang ramai.

“Kami ingin memastikan bahawa keselamatan dan kesihatan para pengunjung dan semua kakitangan kami menjadi keutamaan kami, dan kami berusaha untuk memberikan maklumat yang tepat buat semua,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) telah segera melakukan pengesanan kontak kepada semua kontak rapat yang berpotensi.

“Kami berharap orang ramai untuk kekal bertenang. Kami akan terus komited memberi kerjasama dengan pihak berkuasa kerajaan yang berkenaan dan Kementerian Kesihatan untuk mengatasi masalah ini,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Sunway Lost World Of Tambun.