TAIPING: Zoo Taiping & Night Safari kehilangan lebih 116,000 pengunjung sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac sehingga 15 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, jumlah itu berkurangan 74.99 peratus, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menurutnya, jumlah itu melibatkan kehilangan hasil kira-kira RM 1.4 juta atau -77.43% yang tidak dapat dikutip dari bayaran masuk ke zoo tersebut.

“Ini merupakan satu jumlah yang besar dan secara tidak langsung mengurangan sedikit pendapatan bagi tahun ini.

“Keadaan ini turut menjejaskan kelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang telah dirancang oleh Kerajaan Malaysia dan juga yang telah diberikan fokus oleh Kerajaan Negeri Perak khususnya pada tahun ini,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Konserversi Harimau dan Gajah Peringkat Kebangsaan di Zoo Taiping & Night Safari di sini, hari ini.

Majlis sambutan dirasmikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ahmad Saidi berkata, sejak Zoo Taiping & Night Safari dibuka semula kepada pelawat 15 Jun 2020 lalu, ia terus menjadi tumpuan ramai walaupun pelawat diminta untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

Menurutnya, pada dua minggu terakhir bulan Jun, Zoo Taiping & Night Safari menerima kunjungan seramai 25,234 orang manakala bulan Julai, jumlah pelawat meningkat kepada 61,287 orang berbanding 44,332 orang tahun lalu.

“Kita berharap, trend lawatan ini akan berterusan dan juga diharapkan menampakkan peningkatan selaras dengan adanya banyak perkara menarik yang berlaku dan dijangka mampu memberi impak yang positif kepada industri pelancongan Taiping,” ujarnya.